mainimage2

Home
New Member    Login
 

 

 

Ucapan Presiden MyPSA 2011/12

 

fairulgambar

Assalamualaikum wrt. wbt. dan Salam Sejahtera,

Pertamanya saya Zulhani bin Rasin, mewakili barisan Exco MyPSA 2011/2012 mengucapkan ribuan terima kasih dan merasa berbesar hati di atas pemilihan kami untuk mewakili kepimpinan persatuan bagi tempoh satu tahun akan datang.

Tidak juga dilupakan kepada mantan Presiden, saudara Ir. Fairul Zahri bin Mohamad Abas serta barisan Exco 2010/2011 di atas komitmen yang telah mereka berikan sepanjang tempoh setahun yang lalu.

MyPSA NSW sebagai sebuah persatuan yang mewakili pelajar-pelajar pasca siswazah dan keluarga mereka di NSW kini telah berusia lebih daripada 4 tahun. Sepanjang tempoh tersebut pelbagai perkara telah dilaksanakan bukan sahaja yang melibatkan kebajikan ahli-ahli persatuan tetapi juga berfungsi sebagai wadah simbol penyatuan untuk membolehkan program dan aktiviti yang dirancang digerakkan bersama-sama.

Justeru untuk memastikan MyPSA terus relevan di kalangan ahli-ahli persatuan, barisan Exco akan cuba  untuk terus merancang dan menggerakkan aktiviti dan program yang seboleh-bolehnya akan dapat memberikan faedah terus kepada setiap ahli persatuan sesuai dengan tahap kematangan dan keintelektualan ahli-ahli persatuan yang merupakan pelajar-pelajar di peringkat pasca siswazah. Walaubagaimanapun, usaha-usaha yang dirancang sudah pasti turut memerlukan komitmen dan penglibatan semua pihak di kalangan ahli-ahli persatuan untuk memastikan kejayaan dan faedah dapat dinikmati semua pihak.

Di kesempatan ini juga, pihak persatuan mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya dan pulang ke tanah air sepanjang tahun ini, semoga ilmu yang yang telah diperolehi dapat digunakan untuk menabur bakti demi kemajuan agama, bangsa dan negara.  Selamat datang juga diucapkan kepada meraka yang baru tiba ke bumi Australia untuk menyambung pengajian, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan mengharungi cabaran menuntut ilmu di perantauan.

Akhir kata, izinkan saya berkongsi serangkap pantun yang ringkas tetapi amat mendalam pengertiannya buat kita semua yang sedang berjuang mencari sedikit daripada seluas-luas ilmu yang tidak terbatas luasnya, semoga kita  sentiasa diberikan kekuatan, petunjuk dan rahmatNya.

 

Buah cempedak di luar agar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

 

Zulhani bin Rasin
Presiden
Persatuan Pelajar Pasca Siswazah Malaysia, NSW
2011/2012

 

 

 
*Page last updated: Julai 24, 2010
*Hakcipta Terpilhara © Persatuan Pelajar Pasca Siswazah Malaysia, NSW (MyPSA) 2010